Thursday 8 December 2011

Penentuan Upah Mengikut Islam

    Upah perlu ditentukan secara adil dan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Menurut Surtahman Kastin dan Abd. Ghafar (2001), kadar upah buruh yang adil adalah yang setimpal dengan bidang kerja, bergantung kepada kualiti buruh yang merangkumi aspek fizikal, kemahiran latihan dan mentalnya dan seboleh-bolehnya melebihi kadar keperluan menampung perbelanjaan diri dan ahli keluargannya. Justeru, pada pandangan beliau, Islam menggariskan dua prinsip utama tentang upah. Pertama, upah perlu setimpal dengan kualiti kerja dan kedua, upah perlu melebihi tahap minimum keperluan asas seseorang. Prinsip penentuan upah berdasarkan kualiti kerja malah mungkin tidak selari dengan tuntutan Islam. 

Jika mereka menyusukan (anak-anak) untukmu maka berikanlah kepada mereka
upahnya dan musyawarahlah antara kamu dengan ma’ruf (baik). (Surah al-Talaq
65: 6)

        Jika diteliti Surah al-Talaq ayat 6 itu maka boleh difahami bahawa upah seharusnya ditentu secara musyawarah antara majikan dan pekerja. Musyawarah dalam konteks ini boleh ditafsirkan sebagai proses perbincangan atau tawar menawar untuk menentukan kadar upah yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak, majikan dan pekerja. Ayat ini ditujukan khas kepada penentuan upah bagi kerja penyusuan bayi, namun konsep musyawarah dalam Islam adalah bersifat umum. Oleh itu satu prinsip umum penentuan upah boleh diperoleh daripada maksud ayat tersebut. 

        Saya berpendapat bahawa prinsip musyawarah yang melibatkan proses tawar menawar secara baik antara majikan dan pekerja dalam menentukan upah adalah lebih sesuai dan adil seperti yang dituntut oleh Islam. Sekarang perhatikan konsep pasaran buruh. Pasaran buruh boleh difahamkan sebagai satu susun atur yang melibatkan sama ada kontrak secara formal atau perjanjian tak formal yang dengannya pembeli (majikan) dan penjual (pekerja) khidmat buruh sama-sama bersetuju tentang terma kerja (iaitu termasuk gaji dan pampasan, faedah sampingan, jumlah jam dan syarat-syarat lain bersabit dengan pekerjaan itu). Dalam perkataan lain, pasaran buruh adalah mekanisme yang menterjemahkan proses tawar menawar majikan dan pekerja dalam menentukan upah dan syarat-syarat kerja yang dipersetujui bersama.

RUJUKAN
Surtahman Kastin Hassan dan Abd. Ghafar Ismail. 2001. Tenaga Buruh dan Upah dalam Islam
          Islamiyyat 22: 3–12.
Mansor Jusoh & Nor Ghani  MD. Nort. 2005. Tenaga Buruh dan Upah dalam Islam: Satu Pandangan
          Alternatif. MIYYAT27(1) (2005): 67 - 79

No comments:

Post a Comment